Dalam erti kata lain, kartunis dianggap kerjaya lawak sebagaimana karakter kartun yang dihasilkan.
Hari ini kartunis bukan lagi satu kerjaya main-main. Ia lebih serius, tapi dalam konteks kelakar. Di Jepun, misalnya, eksport hiburan mereka bukan lagi komik atau peralatan elektronik, tetapi kartun dan animasi. Di sana juga ada universiti khas untuk pengajian kartun.
Salah seorang kanak-kanak Malaysia yang dikesan mempunyai bakat melukis kartun ialah Muhammad Noor Yahya, 10 tahun.
Minat melukis kartun itu mula disedari oleh ibunya, Mahimun Mohd. Nasir, 48, ketika usia Muhammad Noor baru mencecah empat tahun.
Pantang melihat pensil dan kertas kosong, anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik ini akan menghabiskan masa hampir berjam-jam lamanya melukis kartun.
Menjadikan superhero seperti Spiderman dan Superman sebagai karakter utama, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan dekat Kuala Lumpur itu banyak menggunakan imaginasinya.
Ini jelas sekali apabila kita meneliti satu persatu hasil karyanya yang banyak mengetengahkan watak seorang anak muda yang gagah dan hebat.
Dalam temu bual dengannya di Desa Tun Razak, Cheras, baru-baru ini, Muhammad Noor tidak banyak bercakap, tetapi sentiasa tersenyum.
Ketika ditanya mengenai cita-citanya, dia menjawab ingin menjadi seorang pelukis kartun terkenal satu hari nanti seperti Datuk Lat.
Walaupun tidak mengenali kartunis terkenal itu, Muhammad Noor berhasrat menemuinya satu hari nanti.
Ketika ditanya mengapa watak hero menjadi kesukaannya, dengan pantas dia menjawab: “Merekalah yang akan menjadi penyelamat kepada dunia.’’
Bapanya, Yahya Bohari, 52, yang turut menemani anaknya pada pertemuan itu mengakui Muhammad Noor akan melukis apa sahaja yang terlintas dalam fikirannya. Selalunya ia berkaitan dengan keadaan semasa yang berlaku.
“Sebagai contoh kartun ‘mat rempit’ ditangkap polis kerana terlibat dalam lumba haram. Jika ditanya kenapa dia melukis watak tersebut dia dengan mudah menerangkan kegiatan itu tidak elok dan jika sesiapa melakukannya mereka pasti akan ditangkap polis,’’ ujar Yahya.
Menceritakan lebih lanjut mengenai minat anaknya itu, kata Yahya, semasa kecil masa Muhammad Noor banyak dihabiskan di perpustakaan berhampiran tempat tinggal mereka.
Berbeza dengan kanak-kanak sebaya yang sibuk bermain dengan alat-alat permainan seperti kereta dan bola, dunia Muhammad Noor lebih kepada melukis kartun.
“Setiap kali habis sahaja rancangan kartun disiarkan di kaca televisyen, dia akan cepat-cepat mencapai pensil dan kertas.

“Jika ada sebarang pertandingan melukis di kawasan tempat tinggal kami atau di sekolah, saya galakkan dia menyertainya. Sekurang-kurangnya ia memberi pendedahan kepadanya untuk memperbaiki mutu lukisannya.
“Begitu juga jika dia inginkan majalah-majalah atau buku kartun, saya cuba usahakan membelinya,’’ ujarnya.
Menurut Yahya, biarpun Muhammad Noor bukan tersenarai sebagai salah seorang pelajar cemerlang di sekolah, namun dia tetap menaruh harapan tinggi agar anaknya itu mampu menjadi individu berguna kepada agama, bangsa dan negara apabila dewasa nanti.
No comments:
Post a Comment